Monday, January 31, 2011

UNIT 6: KEMAHIRAN BERFIKIR

OBJEKTIF

OBJEKTIF AM :
Memahami fungsi otak dan gaya pemikiran kreatif.

OBJEKTIF KHUSUS :
Di akhir unit ini pelajar akan dapat :-
  • Mendefinisikan konsep berfikir
  • Menerangkan proses berfikir yang sistematik
  • kaedah meningkatkan daya berfikir
6.0 DEFINISI BERFIKIR

Berfikir adalah satu proses operasi mental yang melibatkan proses menganalisa dan menilai idea, data atau maklumat untuk kefahaman yang jelas, kukuh dan bermakna. Operasi melibatkan operasi kognitif dan metakognitif.

Operasi Kognitif melibatkan kemahiran-kemahiran membanding dan membeza, menaakul, merumus, mereka cipta, mengeluarkan idea dan sebagainya. Operasi meta-kognitif iaitu operasi yang memandu dan mengawal operasi kognatif.

6.1 KEPENTINGAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA EFEKTIF DAN FUNGSI OTAK

Kemahiran berfikir melibatkan proses membuat keputusan, menyelesaikan masalah, pengelasan, membanding dan membeza dan memberi penerangan yang berkesan. Kepentingan kemahiran berfikir boleh dilihat daripada empat aspek yang berkaitan

a. Sudut Pendidikan

Kemahiran berfikir adalah asas kepada proses pembelajaran . Keupayaan berfikir mempengaruhi cara gaya belajar dan kepeantasan serta keberkesanan pembelajaran. Menurut Ainon dan Abdullah (1995), kemahiran berfikir meninggikan keupayaan belajar, oleh kerana dengan menggunakan kemahiran berfikir mereka dapat memandu dan mengukur kemajuan pembelajaran mereka.

b. Sudut Pekerjaan
Majikan hari ini bukan sahaja mahukan pekerja yang mahir dari segi pengetahuan teknikal atau akademik, tetapi juga mahir dari segi menjana ide-idea baru, membuat keputusan dan meyelesaikan masalah serta menilai satu-satu tindakan.

c. Sudut sosial
Masyarakat sekatrang perlu ada kemahiran dalam mengenalpasti samada sesuatu maklumat itu salah atau betul, baik dari sisi agama, budaya mahupun undang-undang. Kemahiran membuat keputusan yang efektif samada untuk menolak atau menerima
maklumat yang terpapar adalah mustahak menentukan jati diri sosial.

d. Sudut Kerohanian
Kemahiran berfikir bukan sahaja memberi faedah duniawi. Malah manusia yang tidak menggunakan akal adalah dikutuk oeh Allah. Menurut Nik Mustapha Nik Hassan (1999), Islam menuntut umatnya supaya mencari peluang membaiki diri sendiri. Merancang dan menerokai bidang baru menggunakan akal.

6.1.1 FUNGSI OTAK
Otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera iaitu hemisfera kiri dan hemisfera kanan

Rajah 6.1

Berikut adalah fungsi-fungsi otak hemisfera kiri dan hemisfera kanan
Rajah 6.3

Setiap individu perlu mendapat kemahiran dan latihan menggunakan kedua-dua hemisfera ini untuk memperolehi potensi minda yang optimum. Otak kiri mengawal bahagian kanan anggota badan manakala otak kanan mengawal bahagian kiri anggota badan.

Otak kanan adalah lebih unik berbanding otak kiri kerana ia melibatkan fungsi kerohanian, emosi, intuitif dan metafizik.

Otak manusia adalah ciptaan yang terbaik dan tertinggi dari sudut kualiti dan fungsinya berbanding otak organisma lain. Sehingga hari ini belum terdapat sebarang bukti yang menunjukkan bahawa haiwan adalah lebih bijak dari manusia.

Kenyataan ini dijelaskan oleh surah di dalam Al-Quran yang bermaksud;

“ Sesungguhnya Kami menjadikan manusia
adalah sebaik-baik kejadian”.
(Surah At-Tiin : Ayat 4)


6.2 PROSES BERFIKIR KOGNITIF

Proses berfikir oleh otak melibatkan dua tahap iaitu tahap persepsi dan tahap pemprosesan.
Pada tahap persepsi, seseorang individu cuba mengenali sesuatu melalui pengecaman dan menterjemah sesuatu aktiviti kompleks ke dalam bentuk mudah dan bermakna.

Rajah 6.4 :Proses Berfikir


Pada tahap kedua, iaitu pemprosesan, kekuatan logik, digunakan untuk memproses maklumat yang diterima bagi membuat keputusan, mengambil tindakan dan menyelesaikan masalah.

6.3 PROSES BERFIKIR METAKOGNITIF (OUTPUT, INPUT DAN RANSANGAN)

Definisi metakognitif
Metakognitif ialah proses minda yang menyebabkan seseorang itu sedar tentang pemikirannya, berusaha untuk mengingat dan merenung kembali perkara yang telah difikirkan atau dialaminya, menilai atau menganalisis proses berfikir yang telah dilalui serta membuat perancangan untuk menggunakannya dengan lebih berkesan pada masa akan datang.

Tiga aspek utama proses metakognitif ialah mengingat kembali, menilai atau menganalisis dan membuat perancangan berdasarkan apa yang telah dan akan dialami kemudiannya seperti yang dihuraikan di bawah:

i. Mengingat kembali (ransangan)
Soalan-soalan yang ditanyakan berkisar kepada ‘Apa?’, ‘Siapa?’ dan ‘Bila?’
a. Apakah yang menyebabkan anda kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia?
b. Siapakah yang membantu anda semasa belajar di Kolej Komuniti?
c. Bilakah anda akan menempuh alam pekerjaan?

ii. Menilai atau menganalisis (input)
Pada peringkat ini individu digalakkan menilai kekuatan dan kelemahan sesuatu kemahiran atau idea yang telah dibincangkan lazimnya soalan-soalan yang dikemukakan menghendaki pelajar memberikan pandangan, komen, kesimpulan dan membuat analisis.

Contohnya:
a. Pada pandangan anda adakah membuat perbandingan dan perbezaan dengan cara tadi berkesan? Mengapa?
b. Antara langkah-langkah membuat perbandingan dan perbezaan tadi, langkah manakah yang paling mustahak diberikan pertimbangan?
c. Apakah kesimpulan daripada hasil membuat perbandingan dan perbezaan tadi?

iii. Membuat perancangan dan tindakan susulan (output)
Soalan-soalan peringkat ini memerlukan individu membuat tindakan susulan untuk merancang supaya penggunaan sesuatu kemahiran itu akan menjadi lebih berkesan. Individu diminta berusaha untuk mencari jalan bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Contoh:
a. Jika anda menggunakan kemahiran ini pad masa akan datang apakah cara yang akan anda gunakan supaya menjadi lebih baik?
b. Cuba anda rancangkan satu karangan untuk membuat perbandingan dn perbezaan antara dua tokoh tempatan yang terkenal.
c. Buat perbandingan dan perbezaan antara Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas dengan menggunakan pengurusan grafik yang anda ubah suai.
Dengan meransang metakognitif minda seseorang dapat diransang supaya sedar tentang pemikirannya, berusaha untuk mengingat dan menilai serta menganalisis proses berfikir. Oleh itu individu dapat membuat perancangan yang bermakna untuk masa depannya.

6.4 KAEDAH MENINGKATKAN DAYA FIKIR SECARA KRITIS DAN
INOVATIF

Pemikiran lateral yang diperkenalkan oleh Dr Edward De Bono menerbitkan persepsi-persepsi baru yang menganjak keluar dari pemikiran biasa.
Fokus pemikiran lateral ialah ‘untuk membolehkan otak melompat ke hadapan
Dari satu konsep ke konsep yang lain, dari satu idea ke satu idea yang lain’.
Idea-idea yang dijana tidak semestinya betul di mata orang lain kerana betul atau salah bukannya keutamaan pemikiran lateral.

Pemikiran lateral mempunyai ciri-ciri berikut;
i. Lari daripada cengkaman idea-idea lama
ii. Mencabar konsep-konsep yang diterimapakai
iii. Merancang penjanaan idea-idea baru
iv. Menangguhkan penilaian
v. Tidak berminat kepada perkara-perkara yang jelas
vi. Berbeza dari cara berfikir biasa yang mengutamakan kebenaran dan kewajaran.

Pemikiran ini memiliki gaya kreatif yang berasas kepada kemungkinan dan perubahan.

Keberanian mengguna pakai pemikiran lateral akhirnya telah mengubah gaya hidup tradisonal kepada gaya kehidupan moden. Pelbagai ciptaan baru dihasilkan setiap hari meliputi pelbagai bidang seperti kejuruteraan, teknologi, muzik, media, pendidikan dan sebagainya.

Pada hari ini seorang yang duduk dirumah dan melayari internet akan mendapat pelbagai perkhidmatan, contohnya mendengar muzik sambil membaca berita, seterusnya membeli belah, membuat tempahan penerbangan, menjalankan perniagaan dan bersembang dengan rakan di luar negara. Dengan menggunakan internet juga melalui Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) seorang pelajar dapat bergraduat dari sebuah universiti.

Edward De Bono memperkenalkan 4 teknik untuk menjana idea lateral;

i. Teknik alternatif
Teknik ini sentiasa mencari cara-cara, idea-idea dan pilihan-pilihan yang lain untuk melakukan sesuatu tugasan atau tindakan. Contohnya untuk mengepuskan surat, terdapat pelbagai alternatif seperti pos biasa, pos laju, faximili dan e-mail.

ii. Teknik mencabar
Teknik membolehkan membolehkan kita Mencabar idea-idea atau perkara-perkara yang sedia ada untuk mengenalpasti sekiranya ada pilihan lain yang lebih baik.
Contohnya; Mengapakah jam tangan mesti bertali ?
Mengapakah tembikai mesti berbentuk bulat ?
Mengapakah kapalterbang perlu terbang di udara ?
Mengapakah keselamatan penumpang perlu diutamakan ?
Soalan-soalan seperti di atas bukanlah bertujuan untuk mengkritik atau menghentam idea-idea yang sedia ada. Tujuannya ialah untuk membolehkan kita berganjak daripada pemikiran yang pasif dan sambil lewa kepada mengajak kita berfikir samada sesuatu idea boleh diubah atau di perbaiki.

iii. Teknik penyertaan secara rawak
Teknik peryertaan secara rawak lazimnya digunakan apabila kita perlu menghasilkan idea-idea dalam jangka masa yang singkat, apabila kita kebuntuan idea atau apabila kita terdesak untuk menghasilkan idea –idea baru Teknik ini berdasarkan satu perkataan yang dipilih secara rawak.

iv. Teknik provokasi
Teknik ini digunakan bagi menjana idea-idea yang pada awalnya tidak masuk akal atau dianggap bodoh, caranya ialah
a. menjana idea secara sepontan atau tidak sengaja
b. membuang,menggugurkan atau menolak perkara-perkara yang tidak dihiraukan
c. menterbalikkan apa-apa yang lazimnya dilakukan
d. menggunakan idea berunsur fantasi atau angan-angan kosong
Idea-idea yang dihasilkan daripada cara-cara di atas kemudiannya diperkembangkan untuk menghasilkan idea-idea yang lebih praktikal yang rasional.

Rajah 6.5

No comments:

Post a Comment